.::KASIH BERSEMI, SYARIAT DIPATUHI::.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda...
Kalangan remaja pada masa kini selalu menganggap masa remaja adalah masa terbaik dipenuhi dengan cinta antara lelaki dan wanita. Peningkatan gejala sosial terutama dalam kalangan remaja juga ada yang membabitkan rasa cinta yang disulami dengan nafsu semata - mata. Hal ini kerana penglibatan dalam gejala sosial turut membabitkan rasa cinta yang tidak dikawal seperti lari dari rumah, bersekedudukan, sumbang mahram, kes jenayah rogol, berkhalwat, pengguguran secara haram, pembuangan bayi dan sebagainya.
Salah satu punca ramai remaja terlibat dalam gejala sosial yang membabitkan cinta adalah kurangnya ilmu dan keimanan tentang makna cinta yang sebenarnya. Ini menyebabkan seseorang itu terlibat dengan pergaulan bebas dan mengikut rasa cinta di hatinya.
Rasa cinta adalah salah satu gejolak emosi yang penting dalam kehidupa manusia. Disamping sebagai faktor utama dalam pembentukan keluarga, rasa cinta juga merupakan isyarat atau tanda mempererat hubungan dengan keluarga. Selain itu, rasa cinta mempunyai peranan yang tidak dapat diabaikan dalam pembentukan keperibadian diri.
Pesanan Rasulullah SAW ini boleh dijadikan panduan dalam bercinta. Daripada Abu Hamzah Anas Bin Malik RA, pelayan baginda Rasulullah SAW berkata :
"Tidak beriman seseorang diantara kamu hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya sendiri"
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seterusnya Rasulullah SAW juga bersabda daripada Abu Thar Jundub Bin Junadah dan Abdurrahman Muaz Bin Jabal RA menerangkan Rasulullah SAW bersabda :
"Bertakwalah kepada Allah dimanapun kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji"
(Riwayat Tirmidzi)
Terdapat banyak kes cinta terlarang yang tidak direstui oleh keluarga sehinga ada dikalangan remaja sanggup mengikut kekasih hingga ke negara lain. Akibat cinta yang tidak memiikirkan masa depan menyebabkan hidup sengasara, anak yang dilahirkan terbiar serta terpisah daripada keluarga tersayang.
Setiap hari ada sahaja paparan diakhbar tentang derita wanita yang berkahwin dengan warga asing. Akibat cinta yang tidak memikirkan masa depan akhirnya hidup susah, menderita keperitan hidup dan akhirnya kembali ke pangkuan keluarga. Dalam hal ini cinta tidak lagi membawa kebahagiaan.
Jelaslah kata - kata pepatah 'cinta itu buta', ;deritanya hidup hanya dapat dirasakan selepas cinta tak dapat membeli segala'. 'Cinta itu seperti benda tajam, apabila tidak hati - hati menggunakannya adalah harapan kita yang akan dilukainya'
Begitulah kata - kata ingatan pepatah daripada orang - orang tua dahulu yang merenung dan melihat akibat cinta yang tidak memikirkan masa depan. Oleh itu, pandangan daripada ibu bapa, kaum keluarga terdekat amat penting dalam menyulam cinta agar tidak merana.
Kisah cinta dalam kehidupan manusia telah melahirkan banyak ungkapan dan peribahasa tentangnya. Ini semua hasil renungan dan pemerhatian serta akibat daripada cinta. Pepatah Greek menyebut 'Keburukan dapat disembunyikan apabila timbul rasa cinta'. Pepatah Inggeris pula menyatakan 'Cinta dan botak tidak dapat disembunyikan'. Pepatah orang Perancis pula menyebut 'Tidak ada cinta yang tidak cemburu'.
Demikianlah beberapa peribahasa yang menggambarkan peribahasa yang menggambarkan sifat orang yang sedang bercinta. Sebelum terjebak dalam percintaan, elakkan cinta yang boleh membawa bencana dalam kehidupan masa depan.
Erti dan hakikat cinta mempunyai nilai yang berbeza. Cinta kepada kekasih mesra, cinta pada orang tua murni, cinta pada Tuhan abadi. Cinta dan kasih bukanlah sesuatu yang kekal dan abadi kepada seseorang. Cinta bukan sahaja hidup subur di jiwa, malah bole layu dan menyebabkan merana.
Hamka pernah berkata, 'Cinta adalah sebahagian daripada naluri manusia, maka alangkah baiknya jika tumbuh mengikkut kewajarannya. Cinta yang tak terbatas itu bagaikan layang - layang terputus talinya. Dalam percintaan ada pertemuan dan perpisahan. Kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta adalah madunya'
Pada hakikatnya cinta yang murni mestilah berlandaskan hanya kerana Allah SWT. Ahli sufi pernah berkata 'Cintalah yang memberi nikmat dan jangan engakau cintai nikmat yang diberikan'. Jauhilah cinta monyet iaitu cinta keanak - anakan. Cinta palsu iaitu sekadar basa basi atau kepura - puraan. Cinta saku iaitu cinta hany akerana harta benda dan kewangan yang merosakkan. Sebaliknya carilah cinta sejati, cinta yang menghasilkan cita - cita luhur dan kekal abadi.
Imam Al Ghazali pernah berkata 'Apabila cinta kepada Allah itu sampai ke lubuk hati, maka semua cinta kepada barang - barang lainnya akan tersingkir'. Selanjutnya beliau berkata, antara tanda seseorang hamba itu cinta kepada Allah SWT ialah :
"Ia cinta akan Al - Quran, kitab suciNya; cinta kepada Rasulullah SAW, pesuruhNya; cinta kepada apa dan siapa yang ada hubungannya dengan Dia. Sesiapa yang cinta kepada Allah SWT tentu ia juga cinta kepada makhlukNya"
Hakikatnya, cinta dan kasih sayang yang berlandaskan cinta hanya kerana Allah SWT adalah cinta yang luhur dan murni. Oleh itu, elakkan cinta yang boleh membawa bencana dan penderitaan dalam kehidupan. Sebelum terlibat dalam cinta fikirlah semasak - masaknya dengan penuh kewarasan dan ketakwaan.
Kesimpulannya, kesucian cinta akan membuahkan kenikmatan, kesenangan dan keberkatan dalam kehidupan. Semuanya ini dapat dilakukan apabila seseorang itu benar - benar memahami hakikat cinta yang sebenarnya.
Oleh : Dr. Aminudin Mansor
Wallahu'alam~
01 March 2011
Posted by Nurul Aini Izzati Binti Abd Rahman at 6:13 AM
Labels: Muhasabah Cinta
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment