Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW...
Assalamualaikum wbt...
Ingatlah! Sesungguhnya mati akan tiba. Mati ialah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu poses sementara bagi menempuh kehidupan yang abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk tidak akan terlepas dari mati.
Firman Allah SWT yang bermaksud :"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari kiamat." (Surah Ali-Imran : 185)
Kematian akan mengejar ke mana sahaja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh. Kita tidak berdaya untuk menghalangnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun." (Surah A-A'raf: 34)
Apabila matinya anak Adam ketika dia beragama Islam, hendaklah bagi orang yang masih hidup menguruskan mayatnya mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan.
Hukum Mengkafankan Jenazah
Telah diterangkan didalam Hadis, dari Aishah r.a katanya :"Rasulullah SAW (semasa wafatnya)telah dikafankan dalam tiga helai kain putih 'sahuli' dari kapas, tidak mengandungi baju kamis dan tidak juga serban." (HR Bukhari dan Muslim)
Semasa hayat baginda, Rasulullah SAW menerangkan bahawa sebaik-baikpakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian), demikan juga warna kain kafan.
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi SAW bersabda:"Pakailah yang putih dari pakaian kamu, kerana pakaian yang putih adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih" (HR Bukhari dan Muslim)
Cara Mengkafankan Mayat
Menurut huraian ulama, 'kafan' yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.
Boleh digunakan juga sebarang kain yang biasanya dipakai oleh si mati semasa hidup. Akan tetapi yang afdal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadis di atas. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun mayat lelaki sunat dikafankan tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap - tiap satu dapat menutup seluruh badannya. Dari hujung rambutnya hingga ke hujung kakinya.
Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera. Ini adalah kerana haram hukumnya bagi lelaki bagi lelaki memakai kain sutera semasa hidup. Sebakliknya mayat perempuan boleh dikafankan dalam kain sutera kerana ianya halal dipakai oleh orang perempuan. Setengah ulama pua mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan boleh dikafankan dalam kain sutera kerana perbuatan demikian adalah satu pembaziran. Sepatutnya kain yang mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.
Jika sukar mendapat sebarang kain (kerana keadaan darurat). Maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badanya seperti tikar, daun - daun pokok tanaman dan sebagainya.
Mayat lelaki juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi ditambah dengan baju dan serban. Hal demikian merujuk kepada kisah Ibnu Umar r.a yang telah mengkafankan jenazah keluarganya dengan lima lapis termasuk bajudan serban.
Mayat perempuan pula sunat dikafankan dengan lima lapis, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya. Mayat khunsa dikafankan sedemikian juga.
Mayat kanak - kanak sama hukumnya seperti mayat orang dewasa...
Belanja kain kafan dan lain - lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya. Kalau tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar mendapat perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.
Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.
Mudah - mudahan jenazah kita nanti dapat dikafankan dengan sempurna dan mendapat rahmat dari Yang Maha Esa... InsyaAllah...
Segala yang baik datang dari Allah SWT dan yang tidak baik datang dari diri saya sendiri...
Wallahua'alam...
Moga semua mendapat manfaat... ^_^
04 March 2010
Pengurusan Jenazah...
Posted by Nurul Aini Izzati Binti Abd Rahman at 7:52 AM
Labels: Panduan Dan Pengajaran
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment