BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Respons + Ability =

15 March 2010

Solat Membezakan Islam Dan Kafir...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat baginda...

Assalamualaikum wbt...



Kata Saidina Umar r.a sesiapa yang memelihara solat dan tetap mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia - siakannya, ia mensia - siakan kewajipan agamanya. Solat adalah tiang agama dan semulia - mulia rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat runtuh agama seseorang itu. Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala maka tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.

Dalam Kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata'illah berkata : Solat amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya disisi Allah SWT amatlah berat. Kerana itu Allah SWT berfirman, maksudnya :

"Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar" (Surah Al-Ankabut : 45)

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai amalan paling mulia, katanya :"(Semulia - mulia amal) islah solat yang dikerjakan pada waktunya." (H.R. Bukhari)

Baginda juga bersabda maksudnya: "Orang yang mengerjakan solat ialah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya." (H.R. Ahmad & Muslim)

Perintah dan gesaan terhadap solat supay amemeliharanya banyak dijelaskan dalam Al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (Solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk" (Surah Al-BAqarah : 238)

Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda. Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu solat dengan isyarat. Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya. Malah, solat juga ialah syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan muslim. Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih - lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.

Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud :"Jaminan berbaik - baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat, sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir"

Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang meninggalkan solat, seperti dalam Surah Mariam, maksudnya:

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu; maka mereka akan menghadapi kebinasaan Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahalanya walau sedikit pun." (Surah Mariam : 59-60)

Ibnu Abbas r.a berkata, seperti yang disebutkan As-Syams Az-Zahabi dalam kitabnya Al-kabair: "Mencuaikan solat yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya, mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga keluar waktunya." Perkara itu dijelaskan Said Bin Musayyib, dengan menyatakan : "Orang itu tidak solat Zuhur melainkan selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai waktu lain).

Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya azab seksa di neraka.

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak - pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun : 9)


Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah SWT (berzikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu. Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi. Menjadi tanggungjawab bagi Muslim untuk mengambil berat terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh mereka solat. Malah menasihati mereka supaya sentiasa memelihara solat fardhu yang lima.

"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya,..." (Surah Taha : 132)

Nabi SAW sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi keluarganya khusus berkaitan solat. baginda dan keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya mengerjakan solat sebanyak - banyaknya. Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah ikutan kita kerana banyak kelebihan, malah menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala bencana.

0 comments: